KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menangguhkan sehingga 30 Januari depan untuk mendengar notis permohonan pembatalan saman Amy Search terhadap saman difailkan bapa seorang kanak-kanak empat tahun yang melecur di badan akibat tumpahan kuah tom yam ketika menjamu selera di restoran milik penyanyi itu.

Penangguhan itu dibuat berikutan Hakim Unaizah Mohd sedang bercuti bagi mengerjakan fardu haji.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman memfailkan permohonan pembatalan saman dikemukakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menuntut ganti rugi berjumlah RM300,000 berikutan kecuaian pekerja Restoran Laksamana Cheng Ho milik penyanyi itu sehingga menyebabkan kecederaan pada tubuhnya.

Peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, notis permohonan pembatalan saman itu sudah difailkan pihaknya pada 6 Oktober lalu.

“Pada tarikh akan datang, dua permohonan akan didengar serentak, yang mana satu lagi adalah permohonan pindaan saman plaintif.

“Notis pembatalan ini dibuat kerana Restoran Laksamana Cheng Ho tidak pernah wujud, kecuali Cheng Ho Chinese Islamic Food yang ditadbir dan diurus serta dipunyai oleh Iconhill Holdings Sdn Bhd,” katanya.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu juga tidak boleh saman bagi pihak anaknya kerana beliau tidak mempunyai sebarang kuasa atau locus standi.

Pada 24 September lalu, Nik Zahir Nik Mohd Idris, 31, memfailkan saman terhadap pemilik Restoran Laksamana Cheng Ho, Amy Search selepas anaknya, Nik Muhammad Zakwan melecur di badan akibat tumpahan kuah tom yam ketika menjamu selera di sana, pada 17 Jun lalu.