KOTA TINGGI: “Selepas tercampak keluar, saya hanya mampu berdoa supaya suami dan anak kami turut tercampak. Malangnya, mereka tersepit dalam kereta yang terbakar sebelum mayat kedua-duanya ditemui rentung dalam keadaan berpelukan,” kata Rohana Amat, 29.

Dalam keadaan sebak, Rohana yang bertugas di Bahagian Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menceritakan pengalaman ngeri dalam kemalangan mengorbankan tiga mangsa di Kilometer 270.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, pagi semalam.

Menurutnya, ketika berbual dengan arwah suaminya, mereka ternampak kesesakan lalu lintas berikutan kemalangan menyebabkan arwah memperlahankan kenderaannya.

“Bagaimanapun, sebuah kereta merempuh kenderaan kami dari belakang dan arwah suami cuba membrek serta menarik brek tangan, malangnya kereta kami terus meluncur dan terbabas sehingga merempuh pembahagi jalan.

“Apabila suami tak dapat mengawal kereta, saya memeluk erat anak kedua dalam pangkuan sebelum tiba-tiba saya dan Danish melambung keluar menerusi cermin depan dan terlentang di atas jalan manakala Danish terbaring di atas dada.

“Dalam keadaan sedar, saya melihat kereta kami berpusing beberapa kali sebelum terbakar. Api marak dengan cepat dan saya menjerit meminta tolong. Tetapi, orang ramai tak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mereka.

“Ketika itu, saya berdoa supaya suami dan Daniel juga tercampak keluar, tetapi mereka tersepit dalam kereta itu dan selepas kejadian, saya hanya sempat melihat jenazah kedua-duanya apabila sampai di rumah keluarga mentua di Felda Sungai Emas, kira-kira jam 5.15 petang tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di sini, malam tadi.

Source: Harian Metro