KUALA LUMPUR: Bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar) semalam menafikan khabar angin yang tersebar luas mengatakan beliau menghidap penyakit kelamin, lumpuh dan sudah meninggal dunia.


Beliau yang hadir di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini, berkata khabar angin itu adalah fitnah dan pembohongan besar yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya sangat baik, tidak seperti didakwa. Saya sentiasa berdoa agar kebenaran dapat ditegakkan," katanya ketika keluar dari pejabat Jawi di sini, semalam.

Beliau yang berkemeja putih dengan sut hitam dan bersongkok tiba di pejabat itu jam 11.05 pagi ditemani beberapa pengawal peribadi. Bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguam Zamri Idrus tiba beberapa minit sebelum itu.

Mereka keluar dari pejabat itu 35 minit kemudian dan Saiful ketika ditanya tujuan kehadirannya, enggan mengulas lanjut.

Zamri pula hanya memaklumkan ada perbincangan dengan Jawi dan akan mengadakan sidang media apabila mereka sudah bersedia.

Pada 19 Ogos lalu, Saiful hadir ke pejabat sama, difahamkan kerana bagi memberi keterangan berhubung laporan qazaf dibuat Anwar, yang juga bekas majikannya.

Anwar, pada 9 Julai lalu, membuat aduan terhadap Mohd Saiful supaya siasatan dilakukan terhadap bekas pembantunya itu mengikut kesalahan qazaf (tuduhan palsu). Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos lalu, terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara di sini.

Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan dirinya diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lalu.