skip to main |
skip to sidebar
Infos. Tricks. How To. Tips.
Infos. Tricks. How To. Tips.
December 17, 2008 2:57 PM
Posted By kiki
KUALA LUMPUR: Persaingan sengit untuk mengejar pelanggan VIP mendorong segelintir pelayan pelanggan (GRO) sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk kelihatan cantik luar biasa dengan memasang susuk berlian di seluruh anggota badan, termasuk kemaluan.
Mereka sanggup mengetepikan ajaran Islam yang melarang amalan terbabit semata-mata bimbang pelanggan tetap beralih kepada GRO lain yang lebih jelita dan menggoda.
Perbuatan memasang susuk itu didedahkan seorang bekas GRO dikenali sebagai Nita, 20, kepada wartawan Harian Metro yang melakukan siasatan mengenai amalan susuk di kalangan wanita, apatah lagi GRO.
Nita mendakwa memasang lebih 150 susuk berlian pada seluruh anggota badan, termasuk 30 susuk berlian di muka dan kemaluan untuk hidup dalam dunia GRO yang serba mewah.
Katanya, dia hidup mewah dengan wang simpanan lebih RM200,000 apabila sering menjadi buruan golongan VIP yang tertipu dengan kecantikan dan layanan istimewanya.
“Saya bekerja sebagai kakitangan di sebuah bank dan disebabkan mahu mencari wang tambahan, saya membuat kerja separuh masa sebagai GRO di kelab malam di ibu kota.
“Persaingan dengan GRO lain yang muda, menggoda dan jelita menyebabkan saya cuba mencari jalan supaya sentiasa laku serta tidak putus-putus mendapat pelanggan.
“Selepas dipengaruhi beberapa rakan yang memasang susuk berlian, saya mengikut jejak mereka untuk kelihatan cantik,” katanya.
Nita berkata, dia memasang susuk berlian berharga RM150 sebiji secara berperingkat dengan seorang bomoh susuk di Chow Kit sejak berusia 18 tahun hasil kerja sebagai GRO.
Mulanya dia takut, tetapi kerana terdesak mahu mendapat pelanggan kaya, semua halangan tidak diendahkan.
“Hidup saya dilimpahi kemewahan ketika menjadi GRO dengan upah mencecah RM3,000 sekali melayan pelanggan. Saya turut dilayan seperti VIP jika berada bersama mereka,” katanya.
Bagaimanapun, selepas dua tahun terjebak menjadi GRO, dia terlantar hampir seminggu di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta akibat sakit teruk dipercayai terkena ilmu hitam.
Dia sakit teruk yang tidak dapat diketahui punca selepas melayan seorang VIP.
“Selepas sihat, ada beberapa peristiwa berlaku menyebabkan saya insaf dengan dosa yang dilakukan lalu mengambil keputusan tidak menjadi GRO lagi.
“Saya mencari bomoh terbabit bagi mengeluarkan semula susuk berlian yang dipasangnya, tetapi dia enggan berbuat demikian,” katanya.
Lantaran itu Nita berjumpa seorang ustaz yang diperkenalkan seorang rakan.
“Saya tidak mahu mati dalam keadaan memakai susuk walaupun ada mendakwa tidak mungkin ada bomoh lain dapat mengeluarkannya kecuali bomoh yang memasangnya.
“Namun, dengan izin Allah selepas hampir enam jam, semua susuk berlian dikeluarkan ustaz berkenaan,” katanya.
Nita berkata, dia bersyukur kerana sedar perbuatan memakai susuk hanya membawa keburukan pada diri sendiri.
“Bayangkan, saya sanggup memasang lebih 30 susuk berlian di kemaluan semata-mata bagi membuatkan pelanggan saya ‘angau’ dan tidak melupakan saya selepas kami melakukan hubungan seks,” katanya.
Sementara itu, ustaz terbabit yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 40-an, berkata dia mengubati Nita selepas bomoh yang memasukkan susuk berlian kepadanya enggan mengeluarkannya kerana berpendapat susuk berlian halal sehingga mendakwa pemakainya boleh menunaikan haji.
“Selepas mengubatinya dan membaca ayat suci al-Quran, ratusan susuk berlian yang dipasang berjaya dikeluarkan,” katanya.
December 15, 2008 10:42 AM
Posted By kiki
PASIR PUTEH: Seorang lelaki bersama isteri tergamak mencekik leher sebelum melarikan barangan kemas dan wang tunai milik neneknya sendiri bernilai RM12,000 ketika warga emas itu sedang berehat selepas solat Zuhur, petang kelmarin.
Kejadian berlaku jam 2.30 petang di Perkampungan Pondok Yaacob Samba, Cherang Tuli, dekat sini, ketika mangsa, Meriam Sa’amah, 80, seorang diri di rumah.
Cicitnya, Mohd Safuan Mat, 18, yang tinggal bersamanya ketika itu menghadiri kenduri di Kampung Merkang, tidak jauh dari situ.
“Mak cik hanya ingat mati ketika itu kerana orang lain semuanya tiada, termasuk jiran yang pulang ke kampung sempena Aidiladha.
“Mak cik tinggal dengan cicit buat sementara musim cuti sekolah, tapi ketika kejadian dia pergi kenduri di rumah ibu saudaranya,” katanya yang tidak menyangka cucunya sanggup bertindak sedemikian.
Meriam yang menyifatkan cucunya itu sebagai tidak berhati perut, turut tidak menyangka isterinya turut bersubahat menyamun barang kemas disimpannya sejak puluhan tahun hasil upah sebagai bidan kampung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal, berkata ketika kejadian lelaki yang juga cucu mangsa bersama isterinya masuk ke rumah Meriam dan terus mencekik leher warga emas itu.
Menurutnya, berlaku pergelutan antara mereka sebelum lelaki berusia 25 tahun dan isterinya 20 tahun itu menyentap serta melarikan barang kemas warga emas itu.
Katanya, mangsa tidak terus melawan kerana bimbang nyawanya terancam berikutan ketika itu dia berseorangan di rumah sedangkan suspek bersama isterinya turut memegang tangan warga emas itu dari belakang.
“Selepas rantai, gelang tangan serta loket dan wang tunai dirampas daripada mangsa, pasangan suami isteri itu terus melarikan diri dengan sebuah motosikal.
“Mangsa tidak cedera serius kecuali terdapat kesan cekik pada lehernya,” katanya.
Mohd Kamal berkata, mangsa dengan bantuan jiran menghubungi saudaranya untuk memaklumkan kejadian terbabit.
Menurutnya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh jam 5.30 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan maklumat awal, cucu mangsa tinggal di Labok, Machang dan disyaki penagih dadah.
“Suspek pernah ditahan sebelum ini kerana mencuri dan polis sedang berusaha menjejakinya bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya pasangan itu masih di daerah itu dan sedang bersembunyi kerana usaha mengesan di rumahnya gagal.
Katanya, orang ramai yang mengetahui lokasi suspek bersembunyi diminta menghubungi IPD Pasir Puteh di talian 09-7867222 atau balai polis berhampiran.
December 14, 2008 12:34 PM
Posted By kiki
KUALA LUMPUR: Di sebalik gemerlapan dunia hiburan, penyanyi dan pelakon, Awie, yang kini berpangkat Ayahanda dalam Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), terpalit dengan kontroversi apabila dicop kepala samseng ala kongsi gelap yang dinamakan Kumpulan Naga.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 40, dikatakan menuntut layanan istimewa ala kepala gengster, selain mengutip wang keahlian RM3,600 bagi setiap ahli baru.
Penyanyi rock yang mencapai kegemilangan bersama kumpulan Wings pada lewat 1980-an itu dikaitkan dengan kegiatan samseng, memakai baju lambang naga bersama ahli kumpulannya serta berlagak seperti ketua kongsi gelap apabila duduk di kerusi besar ketika bermesyuarat manakala ahli lain perlu berdiri.
Malah, kedudukan beliau sebagai Ayahanda dalam Pekida juga dipertikaikan oleh sesetengah pihak.
Bagi mendapatkan kepastian terhadap dakwaan itu, Metro Ahad menemui pelakon watak antagonis filem Antoo Fighter yang kini ditayangkan di pawagam, sekali gus buat pertama kalinya Awie mendedahkan pada umum mengenai pembabitannya dalam Pekida.
Ikuti penjelasan Awie kepada wartawan Metro Ahad, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN.
“JANGAN fitnah saya begini, saya bukan orang tepi jalan. Saya dah okey. Saya memilih menyertai Pekida untuk mengajar saya menjadi penyabar.
“Di bawah majlis saya, saya dilantik sebagai ayahanda pengerusi di Ukay Perdana.
“Apa yang kita lakukan, kita menjaga kebajikan jemaah, daripada segi silaturahim, ekonomi dan kebajikan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
“Orang kata saya samseng, saya tak akan cakap apa. Perbuatan lebih logik daripada bercakap. Orang boleh cakap apa saja.
“Saya akan buktikan dengan cara saya, bukan dengan cakap saja. Biar semua orang di bawah (ahli Pekida) dapat informasi sebenar.
“Saya terkejut dapat berita ini. Saya sudah tunjukkan dan buktikan saya tidak terbabit dengan pelbagai dakwaan yang dilemparkan.
“Saya tidak tahu bagaimana boleh timbul dakwaan saya ketua kumpulan Dragon (Naga),” katanya.
Awie turut mengandaikan namanya dikaitkan sebagai kepala Kumpulan Naga kerana dulu beliau pernah menyertai kelab motosikal, Dragon Malaya.
“Apabila terpaut dengan nama ini (Naga), saya ambil kesempatan pakai nama itu buat kumpulan bersama Man Kidal, Yan dan Jojet. Selepas itu keluar pula (album Wings) Naga Keramat.
“Apa salah orang nak pakai naga. Di merata tempat ni orang pakai lambang naga untuk pelbagai tujuan.
“Saya orang paling taat (Pekida). Saya ikut apa saja yang saya belajar. Saya tak pernah lari daripada kebenaran,” katanya.
Awie menjelaskan, dia menyertai Pekida di atas hasrat untuk bersatu padu dalam satu pertubuhan Melayu yang memperjuangkan hak dan kebajikan di atas nama Islam.
“Saya duduk dalam Pekida nak bersatu dengan orang Melayu, bukan nak menghancurkan.
“Macam mana dia (pihak berkenaan) boleh cakap saya duduk macam raja (duduk di kerusi khas dan orang lain perlu berdiri).
“Ini semua tidak betul. Tidak pernah saya buat macam tu. Gila ke?
“Apa yang dikatakan saya duduk di kerusi besar, kepala gengster? Saya pakai topeng pun orang kenal, itu Awielah. Gila saya nak buat!” katanya.
Menceritakan sejarah pembabitannya dengan Pekida, Awie berkata, dia mula menyertai Pekida pada 2001 dan bermula dari bawah hingga dilantik sebagai Abang Long dan Ayahanda.
“Saya dinaikkan oleh Majlis Tertinggi pada 2004 sebagai Ayahanda.
“Saya tolak pada mulanya, tapi kerana hormat pada Ayahanda Haji Malik Ranting dan Ayah Pa, saya terima.
“Saya ada watikah (pelantikan sebagai Ayahanda) dan saya boleh buktikan. Saya tak pernah minta dengan sesiapa,” katanya.
Awie berkata, sebagai artis, lingkungan kehidupannya adalah di kelab malam dan pentas, namun apabila menghadiri majlis tertentu anjuran Pekida, beliau amat berdisiplin.
“Saya boleh buktikan dengan gambar, aktiviti yang pernah saya lakukan. Saya terbabit dengan aktiviti kebajikan anak yatim, membantu sekolah agama di Johor.
“Adakah pihak berkenaan (yang menuduh) ambil peduli atau membantu semua ini?
“(Dakwaan) itu memfitnah dan menganiaya saya. Bagaimana orang boleh berkata mengenai saya, sedangkan saya tak pernah jumpa mereka seumur hidup.
“Mereka tak tahu apa gerakan dan aktiviti yang saya lakukan selama bersama Pekida,” katanya.
Menurut Awie, beliau teraniaya dengan pelbagai fitnah hingga pernah ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan pelakuan jenayah.
“Hidup saya memang teraniaya dengan benda-benda macam ini.
“Pernah satu ketika saya diambil pada jam 1 pagi oleh polis kerana 10 orang yang ditahan di lokap ‘petik’ (kaitkan) nama saya.
“Saya tak kenal pun siapa mereka. Apabila saya jelaskan keadaan sebenar, baru saya dilepaskan dan polis pun faham.
“Ia menjadi tanda tanya kenapa mereka ‘petik’ nama saya.
“Kalau betul tuduhan yang dilemparkan kepada saya, saya sanggup koyak kad keahlian. Selama ini saya dikenali pun bukan kerana Pekida.
“Saya selesa dengan hidup saya. Saya sayangkan Pekida. Kalau pentadbir (Pekida) tidak okey, saya masih dengan Pekida. Namun dengan cara dan permainan saya.
“Kalau orang kata Pekida jahat, saya kata tidak.
“Inilah pertubuhan yang menyatukan anak Melayu. Kalau nak mempolitikkan NGO, inilah jadinya,” katanya.
Berhubung dakwaan bahawa beliau meminta diberi penghormatan layanan berstatus Ayahanda sebagai syarat menghadiri Perhimpunan Agung Pekida Ke-15, Awie berkata:
“Memang saya Ayahanda, apa mereka cerita? Mereka gila ke apa?
“Saya masuk Pekida kerana jalan ini yang saya suka. Mereka memburukkan saya untuk mencari nama dalam Pekida, mereka ini dayus.
“Kenapa tak berdepan dengan saya? Kenapa mesti memfitnah?
“Saya tak pernah buat permintaan itu. Lan Gajah (Pengerusi Pekida Daerah Bukit Bintang, Roslan Dahaman) yang telefon saya, tetapi saya tak dapat nak pergi.
“Dia (Lan Gajah) tawarkan untuk bawa wakil sebagai ahli keselamatan.
“Ketika itu saya tak dapat hadir kerana ada di luar kawasan.”
Awie berkata, beliau berpegang pada amalan berbaik dengan semua orang dan menjauhi penganiayaan terhadap hidup orang serta jangan menyusahkan hidup orang.
“Kalau baik dengan orang, orang akan bantu kita dan dari situ datangnya ekonomi. Kalau kita hidup susah, adik beradik lain akan membantu.
“Kalau seorang bagi seringgit, 10 orang sudah 10 ringgit, kalau 100 sudah 100 ringgit.
“Jadi, ekonomi kita dapat dibantu kalau dalam keadaan terdesak.
“Apa yang diminta Allah di akhirat nanti adalah kebajikan kita.
“Kita ada sekolah agama yang dibantu, ahli majlis bersatu. Anak yatim yang patut diraikan, kita raikan,” katanya.
December 3, 2008 4:18 PM
Posted By kiki
KOTA TINGGI: “Selepas tercampak keluar, saya hanya mampu berdoa supaya suami dan anak kami turut tercampak. Malangnya, mereka tersepit dalam kereta yang terbakar sebelum mayat kedua-duanya ditemui rentung dalam keadaan berpelukan,” kata Rohana Amat, 29.
Dalam keadaan sebak, Rohana yang bertugas di Bahagian Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menceritakan pengalaman ngeri dalam kemalangan mengorbankan tiga mangsa di Kilometer 270.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, pagi semalam.
Menurutnya, ketika berbual dengan arwah suaminya, mereka ternampak kesesakan lalu lintas berikutan kemalangan menyebabkan arwah memperlahankan kenderaannya.
“Bagaimanapun, sebuah kereta merempuh kenderaan kami dari belakang dan arwah suami cuba membrek serta menarik brek tangan, malangnya kereta kami terus meluncur dan terbabas sehingga merempuh pembahagi jalan.
“Apabila suami tak dapat mengawal kereta, saya memeluk erat anak kedua dalam pangkuan sebelum tiba-tiba saya dan Danish melambung keluar menerusi cermin depan dan terlentang di atas jalan manakala Danish terbaring di atas dada.
“Dalam keadaan sedar, saya melihat kereta kami berpusing beberapa kali sebelum terbakar. Api marak dengan cepat dan saya menjerit meminta tolong. Tetapi, orang ramai tak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mereka.
“Ketika itu, saya berdoa supaya suami dan Daniel juga tercampak keluar, tetapi mereka tersepit dalam kereta itu dan selepas kejadian, saya hanya sempat melihat jenazah kedua-duanya apabila sampai di rumah keluarga mentua di Felda Sungai Emas, kira-kira jam 5.15 petang tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di sini, malam tadi.
Source: Harian Metro
November 29, 2008 4:16 PM
Posted By kiki
JOHOR BAHRU: “Janji dia menyayangi saya di dunia dan akhirat adalah drama semata-mata. Selepas dua bulan tinggal bersama, dia mula tunjuk belang termasuk mencuri wang dan menggadai semua barang kemas saya,” kata seorang mangsa pengkid temberang yang hanya mahu dikenali sebagai Anita, 33, semalam.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu menyesali peristiwa hitam dalam kehidupannya gara-gara terpedaya pujuk rayu dan godaan kekasih kaum sejenis hingga melarikan diri meninggalkan anak dan suami pada 2005.
Dia sanggup melupakan anaknya yang ketika itu berusia tujuh tahun dan suami yang bekerja sebagai pekerja kontrak.
Mengenang semula peristiwa gelap itu, kata Anita, ia umpama mimpi buruk kerana tidak menyangka boleh terjalin hubungan intim bersama Angah yang berperwatakan lelaki di tempat kerja iaitu sebuah kilang di Tampoi.
“Saya taksub dengan kata-kata Angah lalu mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu. Selama setahun menjalin hubungan bersamanya, saya sanggup membelanjakan semua duit gaji bagi memenuhi pelbagai permintaannya.
“Apabila cinta songsang kami diketahui keluarga, saya tidak berfikir panjang untuk melarikan diri apabila Angah mengajak memulakan kehidupan baru bersamanya disebabkan tiada pilihan lain untuk menyelamatkan hubungan itu,” katanya.
Anita berkata, mereka melarikan diri ke Melaka dengan bekerja sebagai operator pengeluaran manakala tempat tinggal di asrama pekerja.
Kebahagiaan mereka tidak kekal lama kerana pengkid terbabit mula menunjukkan sikap agresif termasuk nyaris mencederakannya beberapa kali apabila hubungan percintaannya dengan seorang gadis lain terbongkar.
“Angah sanggup mencuri pelbagai barang kemas saya dan wang semata-mata untuk menampung keperluan kehidupan sosialnya.
“Perbuatannya menimbulkan tekanan hebat kerana sudahlah saya meninggalkan keluarga demi dia, dia pula bersikap lepas tangan walaupun pernah berjanji sehidup semati bersama saya.
“Saya terkilan dengan tindakannya memperbodohkan saya apabila menghilangkan diri dan meninggalkan saya berseorangan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kempas, semalam.
Anita berkata, dia bersyukur kerana keluarga sanggup menerimanya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Selama ini dia bekerja di Temerloh kerana tidak mahu pulang kerana bimbang keluarga tidak akan menerima kehadirannya.
“Perpisahan itu balasan Allah terhadap perbuatan saya dan ia memberi pengajaran.
“Hanya kunci rumah yang saya bawa bersama menjadi pengubat rindu terhadap keluarga selama tiga tahun ini,” katanya yang tidak menyangka ahli keluarga termasuk ibunya yang sanggup meminta bantuan Harian Metro pertengahan Ogos lalu.
Dia yang membaca berita itu segera menelefon ibu dan memaklumkan situasi sebenar kerana tidak mahu dia bimbangkan keselamatannya.
“Kami tidak tahan sebak kerana sudah lama tidak berbual, tetapi saya tidak dapat pulang segera ke Johor kerana perlu memberi notis berhenti kerja kepada majikan.
“Saya tidak menjangka ibu dan anak saya, Lela yang kini sudah berusia 10 tahun sanggup menjemput saya di Terminal Pengangkutan Awam Larkin apabila saya tiba di Johor kelmarin,” katanya.
Pada 15 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang tomboi yang melarikan isteri seorang pekerja kontrak sejak tiga tahun lalu hingga gagal dikesan.
Kejadian itu mengakibatkan keluarga wanita terbabit hanya mampu meratap kesedihan apabila insan kesayangan mereka menjadi mangsa pujukan tomboi itu.
Keluarga berkenaan pernah membuat laporan polis mengenai kehilangan wanita itu di Balai Polis Larkin di sini, 23 April 2005.
Source: Harian Metro
November 28, 2008 5:19 PM
Posted By kiki
KUALA LUMPUR: Bekas pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan (gambar) semalam menafikan khabar angin yang tersebar luas mengatakan beliau menghidap penyakit kelamin, lumpuh dan sudah meninggal dunia.
Beliau yang hadir di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini, berkata khabar angin itu adalah fitnah dan pembohongan besar yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya sangat baik, tidak seperti didakwa. Saya sentiasa berdoa agar kebenaran dapat ditegakkan," katanya ketika keluar dari pejabat Jawi di sini, semalam.
November 27, 2008 2:28 PM
Posted By kiki
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menangguhkan sehingga 30 Januari depan untuk mendengar notis permohonan pembatalan saman Amy Search terhadap saman difailkan bapa seorang kanak-kanak empat tahun yang melecur di badan akibat tumpahan kuah tom yam ketika menjamu selera di restoran milik penyanyi itu.
Penangguhan itu dibuat berikutan Hakim Unaizah Mohd sedang bercuti bagi mengerjakan fardu haji.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman memfailkan permohonan pembatalan saman dikemukakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menuntut ganti rugi berjumlah RM300,000 berikutan kecuaian pekerja Restoran Laksamana Cheng Ho milik penyanyi itu sehingga menyebabkan kecederaan pada tubuhnya.
Peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar ketika ditemui di luar mahkamah berkata, notis permohonan pembatalan saman itu sudah difailkan pihaknya pada 6 Oktober lalu.
“Pada tarikh akan datang, dua permohonan akan didengar serentak, yang mana satu lagi adalah permohonan pindaan saman plaintif.
“Notis pembatalan ini dibuat kerana Restoran Laksamana Cheng Ho tidak pernah wujud, kecuali Cheng Ho Chinese Islamic Food yang ditadbir dan diurus serta dipunyai oleh Iconhill Holdings Sdn Bhd,” katanya.
Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu juga tidak boleh saman bagi pihak anaknya kerana beliau tidak mempunyai sebarang kuasa atau locus standi.
Pada 24 September lalu, Nik Zahir Nik Mohd Idris, 31, memfailkan saman terhadap pemilik Restoran Laksamana Cheng Ho, Amy Search selepas anaknya, Nik Muhammad Zakwan melecur di badan akibat tumpahan kuah tom yam ketika menjamu selera di sana, pada 17 Jun lalu.
November 26, 2008 2:35 PM
Posted By kiki
Bomoh didakwa masuk jari dalam kemaluan
SHAH ALAM: Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap tuduhan melakukan seks dengan seorang pakar kecantikan dengan cara memasukkan tasbih dan jari ke dalam kemaluan wanita itu.
Kamarul Zaman Abdul Rashid, 44, yang juga seorang pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob yang kemudian menetapkan 10 Mac tahun depan untuk perbicaraan.
Tertuduh yang ditangkap pada 19 November lalu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap wanita berumur 33 tahun di sebuah rumah di Kampung Melayu Sri Kundang, Kuang, Rawang, jam 11.30 pagi, 15 November lalu.
Kamarul Zaman yang hadir di mahkamah memakai baju Melayu berwarna hijau, didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Peguam, Simon Sabapathy yang mewakili Kamarul Zaman memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh yang sudah berkahwin perlu menyara lima anak berumur tiga hingga 19 tahun serta kedua-dua ibu bapanya.
Pembantu Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim membantah jaminan diberikan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, katanya, jika mahkamah cenderung untuk memberi ikat jamin satu jumlah yang tinggi perlu ditetapkan bersama syarat tambahan memandangkan kes seperti itu kerap berlaku dan boleh mencetuskan kebimbangan kepada masyarakat.
Hakim Wan Mohd Norisham kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Kamarul Zaman melapor diri di balai polis terdekat pada hari pertama setiap bulan.
Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan diberi amaran agar tidak mengganggu mangsa.
Source: Berita Harian
Fullname: Ikram Faidzal B Hassan
Nickname: Kiki