SEREMBAN: “Kami tak buang dia tapi terkilan dengan tindakannya membelakangkan kami mengenai perkahwinan dengan pelakon Rita Rudaini,” kata ibu pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Azizah Arshad, 56.

Justeru, dia yang sedih dengan tindakan Mohd Aidil mengharapkan prestasi anaknya dalam bola sepak tidak terjejas kerana sudah menjadi periuk nasinya dan keluarga.

Azizah bagaimanapun menyifatkan perkahwinan itu sebagai takdir kerana rezeki serta jodoh seseorang adalah ketentuan Tuhan.

Apapun, dia kesal dengan perbuatan mereka mengenepikan keluarga untuk mendirikan rumah tangga kerana tidak pernah berbincang atau mendapatkan pandangan, malah sanggup menjalankan pernikahan di selatan Thailand.

“Suka tak suka terpaksa terima kerana itu pilihan yang sudah dia buat walaupun dalam hati kami hanya Tuhan yang tahu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Azizah bersama suami, Abd Radzak Saleh, 59, mengadakan sidang media di rumah anak sulung mereka, Ruziana Abd Radzak, 37, di Taman Coral Height, Sikamat dekat sini.

Hadir sama anak mereka, Mohd Zafran, 34, dan adik kembar Mohd Aidil Zafuan, Mohd Zaquan Adha, 21.

Mohd Aidil melangsungkan pernikahan dengan Rita Rudaini di selatan Thailand pada 25 Februari lalu tanpa pengetahuan ahli keluarganya, termasuk Mohd Zaquan Adha yang sering bersamanya dalam skuad bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan.

Tindakan mereka menyembunyikan pernikahan itu akhirnya dapat dihidu Ruziana yang akhirnya memaksa Mohd Aidil membuka mulut bagi menjelaskan kedudukan sebenarnya.

Perkara itu disahkan Abd Radzak yang mengatakan pihaknya mengetahui pernikahan mereka pada 14 Disember lalu melalui sijil nikah yang ditunjukkan Ruziana.

Mereka sekeluarga terkejut dengan perkara terbabit serta tidak menyangka sama sekali ia boleh berlaku.

Abd Radzak yang juga bekas tentera menjelaskan ahli keluarganya tidak pernah diberitahu mengenai Mohd Aidil mahu berkahwin dengan Rita Rudaini, malah perbincangan kedua-dua keluarga pihak tidak pernah diadakan.

Selain itu, Mohd Aidil sentiasa berada di rumahnya di Sikamat kerana beraksi dalam skuad bola sepak Negeri Sembilan dan sesekali mewakili negara dalam kejohanan bola sepak antarabangsa.

“Sebelum kami mendapat tahu mengenai berita pernikahan itu, Rita Rudaini ada datang ke sini pada 13 Disember untuk mendapatkan pandangan dan tidak pernah menyebut pasal kahwin.

“Tetapi kami tidak menyangka mereka berdua ketika itu sudah bernikah,” katanya yang kelihatan agak tertekan dan mengakui mengganggu kesihatannya.

Abd Radzak mengakui hubungan intim anaknya dengan artis terbabit pernah didedahkan dalam akhbar beberapa tahun lalu, tetapi sudah membuat penafian.

Dia kini menyerahkan kepada keluarga Rita Rudaini untuk tindakan lanjut, sama ada mengadakan majlis keramaian dan bagi keluarganya tiada sebarang perancangan pada masa ini.

“Kami sekeluarga menyerahkan kepada pihak keluarga perempuan kerana mereka lebih mengetahui apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan apa yang berlaku sebagai hak peribadi pemain itu.

“Saya harap mereka berdua bahagia,” katanya yang mahu tumpuan Mohd Aidil yang juga pemain pertahanan terhadap bola sepak Negeri Sembilan tidak terjejas.